Akta Hakmilik Strata 1985 (AHS) telah mula berkuatkuasa pada
1 Jun 1985 bagi semua negeri di Semenanjung Malaysia. Objektif utama AHS adalah
untuk membolehkan tanah beri hakmilik (alienated land) mempunyai
hakmilik-hakmilik berasingan secara berlapis (multi-layer ownership) dengan
cara:
- pengeluaran hakmilik strata melalui proses pecah bahagi
bangunan atau tanah (land parcel): dan
- pewujudan perbadanan pengurusan sebagai mekanisma
pengurusan ‘self-governance’ bagi mengawal selia pentadbiran skim strata yang
berkenaan setelah hakmilik-hakmilik strata didaftarkan.
Pindaan terkini kepada AHS iaitu melalui Akta Hakmilik
Strata (Pindaan) 2013 [Akta A1450] telah memperkenalkan konsep baru pengeluaran
hakmilik strata dan pemilikan kosong atau vacant possession (VP) secara
serentak. Melalui pengenalan konsep baru ini, masa proses kerja pengeluaran
hakmilik strata akan dapat dipendekkan dan hakmilik strata dapat dikeluarkan
dengan lebih cepat. Asas pindaan undang-undang hakmilik strata di bawah Akta
A1450 ini pada umumnya adalah menekankan keperluan menjadikan pengurusan
hakmilik strata yang setanding dengan kehendak dan kepentingan pelanggan
(customer-focused services) serta bermatlamatkan penambahbaikan sistem
penyampaian pentadbiran tanah dalam pengurusan dan pengeluaran hakmilik strata.
No comments:
Post a Comment